MENDAFTAR DIPLOMA DI KOLEJ

BERITA / ARTIKEL

SALAM KEPADA PELAJAR/BEKAS PELAJAR/ STAF/BEKAS STAF KDH

Anda digalakkan untuk menghantar sebarang berita, artikel, gambar dan sebagainya yang berkaitan kolej untuk dimasukkan dalam blog ini. Hantar ke kolej.dar.alhikmah@gmail.com

Pengumuman

-Kepada Semua Pelajar Modular Sesi Jun 2009 diucapkan Selamat Menghadapi Peperiksaan Akhir Semester.

- Kepada Pelajar yang Mendaftar Projek Akhir Jun 2009 anda semua dikehendaki menghantar draf projek akhir pada 8/1/2009. Kegagalan berbuat demikian anda akan didenda.

Tuesday, January 12, 2010

Keluarga Syurgawi







Apa yang unik tentang keluarga ini?






Ibu Bapa, Anak-anak dan menantu memilih KDH sebagai tempat menimba ilmu mereka .






SUATU PERNYATAAN KEPRIHATINAN

KONTROVERSI PEMAKAIAN KALIMAT ALLAH: SUATU PERNYATAAN KEPRIHATINAN
Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
PresidenWadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) / Presiden KDH
Selama berabad-abad negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay States) ini durujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi. Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai. Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan rumah”.
Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan.
Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini. Memang dalam sejarahnya Negeri-Negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam.
Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini. Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya.
Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusek atau diganggu.
Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka.
Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam. Bagi umat Islam Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin.
Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa). Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri.
Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (`alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.
Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius. Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, “Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa.
Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”. Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi s.`a.w. memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik, nama yang menolak syirik, dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan).
Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “...a Personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak. Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani. Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau trinity.
Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid. Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik. Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya? Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Katolitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan leluasa. Ajaran Katolik dapat difahami oleh para penganutnya, malah telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif. Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini.
Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam. Rasanya wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:
What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution. Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist. Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries. Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes) without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss. Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of a good Catholic education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values. It is a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation. In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision. It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts. The church may do so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia’s majority (http://takemon. wordpress. com/about/).
Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya. Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut.
Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi. Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah erti dan isinya. Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat pribumi Melayu.
Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini, S. Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society. Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan pribumi Melayu itu dilakukan atas nama “...cultivating the waste and barren soil of the native mind”.. Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu.
Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat Abdullah Munsyi.. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan “Abdullah Paderi”. Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi “perkara masa lalu” yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian. Provokasi-provokasi keagamaan sehausnya dihindari, dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan. Apa pun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya relevan dengan masyarakat kita.
Isu ini harus dilihat secara kontekstual. Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman. Fiqh kita mengambilkira `uruf ahl al-balad (budaya warga setempat).
Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah mafsadah atau kesan buruknya yang perlu dihindari.

Friday, January 8, 2010

SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN

KEPADA SEMUA PELAJAR SEPENUH MASA ......

DIUCAPKAN SELAMAT MENJAWAB DI DALAM PEPERIKSAAN (11/1/2010 - 15/1/2010)

SEMOGA KEJAYAAN MENJADI MILIK ORANG-ORANG YANG BERUSAHA.......

Saturday, December 5, 2009

BUKU2 SEMPENA 20 TAHUN KOLEJ DAR AL HIKMAH

DAPATKAN SEGERA BUKU-BUKU SEMPENA SAMBUTAN 20 TAHUN KDH.......
PENGARANG2 ADALAH WARGA STAF KDH .......





PENDIDIKAN AL-HIKMAH & MISI PENCERAHAN: Himpunan Pidato Kependidikan
Oleh Siddiq Fadzil
ISBN 978-983-41872-6-2
RM15.00
Halaman: 109ms
Genre: Pendidikan, Ilmiah

Buku dengan judul Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan : Himpunan Pidato Kependidikan merupakan himpunan sebahagian pidato dan ucapan beliau di berbagai majlis yang menyentuh isu-isu kependidikan dengan maknanya yang luas dan Islami mencakup tema-tema kebudayaan, kebahasaan, gerakan Islam sehinggalah ke dialog ketamadunan. Sebahagian besar pidato beliau diucapkan di Majlis-majlis Konvokesyen Kolej Dar al-Hikmah dari tahun 2002 sehingga 2008. Sehingga kini, telah hampir tujuh tahun Dato’ Dr. Siddiq Fadzil memimpin Kolej Dar al-Hikmah dengan suatu visi unik yang digarap dari al-Qur’an dan tuntunan nabawi, “Pendidikan al-×ikmah”.

Di kalangan orang-orang yang kenal rapat dengannya serta sahabat seangkatannya, beliau lebih dikenali sebagai “Ustaz Siddiq”, suatu gelar yang mencermin ciri keguruan dan kependidikan, lebih tinggi dan mulia dari mana-mana gelaran rasmi. Ucapan beliau dengan gaya retorika khas miliknya, sarat makna dan renungan, penuh dengan nasihat dan panduan, kaya dengan pandangan ikhlas dan bernas seorang ‘Guru Tua’, sering kali menarik perhatian para pendengar untuk turut sama menyelami makna, menggapai hakikat kata serta menghayati misi perjuangan kependidikan yang beliau hayati sepenuhnya.

Inilah yang cuba dimanifestasikan melalui institusi pendidikan kerakyatan, Kolej Dar al-Hikmah (dahulunya dikenali Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam – IPI), sebuah institusi pendidikan yang telah menjangkau usianya yang kedua puluh pada tahun 2009 ini, dan sebagai tanda perjuangan pendidikan institusi kerakyatan ini dengan misi pencerahannya yang terus lestari, maka buku ini diterbitkan. Diharapkan buku ini mampu menghilangkan kedahagaan para peminat wacana bernas, segar dan jujur kependidikan.

“Pendidikan al-×ikmah adalah suatu lontaran idea penjenamaan sistem pendidikan alternatif keislaman. Al-Íikmah adalah kata yang cukup inspiring, padat dengan makna, sarat dengan nilai. Dalam al-Qur’an kita menemukan al-Íikmah sebagai kata yang selalu mengiringi al-kitÉb, khususnya dalam konteks misi pendidikan profetis (wa yu`allimuhum al-kitÉb wa al-Íikmah) … ia juga terkait dengan nama besar LuqmÉn al-×akÊm, tokoh Qur’ani pengungkap pesan-pesan kependidikan… Kerana itu pesan-pesan kependidikan LuqmÉn al-×akÊm itu seharusnya diangkat dan dimartabatkan sebagai asas pendidikan Islam dan sekaligus rumusan isi atau substance pendidikan. Atas asas inilah kita mewajarkan penjenamaan Pendidikan al-×ikmah — Siddiq Fadzil.”













LINTASAN SEJARAH BANGSA : JATI DIRI DAN PSIKIK MELAYU
Oleh: Ahmad Mohamad Said
ISBN 978-983-41872-7-9
Harga: RM 20.00
Halaman: 212 ms



Melalui karyanya ini, Haji Ahmad Mohamad Said yang sememangnya bepengalaman luas di dalam dunia kependidikan di Malaysia, berusaha membedah sebab-musabab kemunculan masyarakat Melayu yang terbenam (submerged) dari ranah sejarah yang dalam. Melalui analisis sejarahnya serta penerapan kerangka pedagogy of the oppresed, beliau berusaha merungkai satu-persatu sebab musabab pembentukan psikik Melayu dengan segala momokan negatif seperti ‘Melayu Malas’, ‘Melayu mudah lupa’ dan banyak lagi.
Mungkin kenyataan itu pahit tetapi itulah realiti sejarah. Proses penindasan dan pembodohan yang berlangsung sekian lama sama ada melalui pendidikan mahupun politik menyumbang kepada pembentukan jati diri dan psikik Melayu yang khusus itu. Ini dapat disorot pada perlaksanaan sistem feudal klasik yang menindas, penjajahan yang bertunjangkan kapitalisme dan seterusnya kelahiran ahli-ahli politik pasca penjajahan sebagai golongan neo-feudal, semuanya menyumbang ke arah mencorakkan masyarakat Melayu ‘terbenam’ itu. Tiada jalan lain melainkan umat Melayu perlu melakukan perubahan psikik dan keluar dari perangkap minda dan kesedaran palsu yang selama ini menjerat mereka.
Semoga analisis sejarah dan cara pandang pendidikan kritis Haji Ahmad M. Said ditambah pula cadangan-cadangannya yang bernas dan mencerahkan dapat mencetuskan ‘conscientizacao’ seterusnya menggerakkan ‘revolusi psikik’ umat Melayu seluruhnya.

Hakikat yang tidak dapat disembunyikan lagi ialah bahawa bangsa Melayu tidak kuat dan ternyata sedikit sebanyak kekuatan yang berbaki itu, terus menerus terhakis... Justeru itu kita perlu kejutkan diri kita dan seluruh bangsa kita, kepada hakikat pahit bahawa gambaran-gambaran muluk dan lambang-lambang kuasa yang kelihatan gagah itu sebenarnya sedang lompong dan di bawah tapak kaki kita terdapat arus keras yang sedang menghakis saki baki kekuatan yang masih ada.
Seperti Highland Tower, segagah manapun kelihatan pada zahirnya, akhirnya ia menyembah bumi. Kita jangan diperangkap oleh ‘perasaan selamat yang palsu’ (false sense of consciosness) dan tertipu dengan simbol, retorika dan pesta.



MENCARIK ILUSI MENGGAPAI REALITI : Wacana Tasawuf, Tarekat & Pemikiran Kalam Imam Ahmad Al-Sirhindi (971H/1563M-1034H/1624M)
Oleh Mohd Nasir Mohd Tap
ISBN : 978-983-41872-6-2
RM60.00



Di saat intelektualisme tasawuf pasca Ibn ‘ArabÊ didominasi oleh metafizik WaÍdat al-WujËd, muncul seorang tokoh yang mengkaji ulang dan mengkritik tradisi tersebut. Beliau ialah Imam AÍmad al-FarËqÊ al-SirhindÊ (971H/1563M -1034H/1624M) atau terkenal dengan panggilan Mujaddid al-Alf al-ThÉnÊ dan ImÉm RabbÉnÊ. Dengan kemampuan rohaniah dan ketajaman ilmiahnya, beliau telah mengkritik beberapa aspek ajaran WaÍdat al-WujËd lalu mengungkapkan semula pengalaman ‘Kesatuan’ tersebut dalam bahasa yang lebih menepati kehendak syariah.
Pandangan alternatif yang dibangunkannya sering dijuluki dengan gelaran WaÍdat al-ShuhËd. Namun begitu, di sebalik kemasyhurannya, beliau masih kurang dikenali di Alam Melayu. Justeru, karya yang diusahakan oleh Sdr. Mohd Nasir bin Mohd Tap, Pensyarah Pengajian Islam, Kolej Dar al-Hikmah yang juga Fellow Penyelidik di Akademi Kajian Ketamadunan ini dapatlah dianggap sebagai suatu usaha yang amat berharga khususnya bagi memperkenalkan aspek-aspek pemikiran tokoh penting tersebut.
Kami merasa bertuah dapat menerbitkan buku ini yang berbobot dengan analisis ilmiahnya serta terperinci huraiannya. Semoga karya beliau ini dapat menambahkan lagi kepustakaan berbahasa Melayu khususnya di dalam bidang UÎËl al-DÊn dan Pemikiran Islam.

Imam AÍmad bin ‘Abd al-AÍad al-FÉrËqÊ al-SirhindÊ (971H/1563M-1034H/1624M) yang juga dikenali sebagai Mujaddid al-Alf al-ThÉnÊ (Mujaddid Alaf Kedua) dan ImÉm RabbÉnÊ merupakan tokoh penting tasawuf. Kemasyhurannya sering dihubungkan dengan kritikannya terhadap fahaman WaÍdat al-WujËd. Beliau hidup di tengah-tengah krisis akidah dan pemikiran yang melanda umat Islam di India pada era pemerintahan Maharaja Akbar. Beliau tampil sebagai tokoh penyelamat umat dari serangan pemikiran liberal dan inklusivisme-pluralisme agama Din-i Ilahi yang dirasmikan sebagai ‘Agama Negara’ oleh Akbar.
Begitu pentingnya tokoh ini, sehinggakan seseorang yang mengkaji perkembangan Islam di India tidak dapat mengabaikan keutamaannya sebagai perintis rantaian gerakan pembaharuan Islam yang membariskan tokoh-tokoh penting seperti ShÉh Waliyyu ‘LlÉh, ShÉh ‘Abd al-‘AzÊz al-DihlawÊ, Sayyid AÍmad ‘IrfÉn al-ShahÊd, ShÉh ‘Abd al-GhanÊ al-DihlawÊ, Sayyid AÍmad KhÉn, MuÍammad IqbÉl, Sayyid AbË al-A‘lÉ al-MawdËdÊ, Sayyid AbË al-×asan ‘AlÊ al-NadwÊ dan ramai lagi.








Wednesday, December 2, 2009

KURSUS ASAS PENJAGAAN & PENGASUHAN KANAK-KANAK & BAYI

KDH MENGANJURKAN KURSUS PENJAGAAN &
PENGASUHAN KANAK-KANAK DAN BAYI

SETIAP HARI AHAD

MODUL 1
TARIKH :13 DISEMBER 2009
TAJUK : Penjagaan Dan Pengasuhan
OLEH : Tn. Hj Maarof Hamali (Kolej Dar al-Hikmah)

MODUL 2
TARIKH :20 DISEMBER 2009
TAJUK :Mengenali, Memahami, Menjaga Dan Mengasuh
OLEH :Pn . Nuradzilla Ismail (UKM)

MODUL 3
TARIKH :27 DISEMBER 2009
TAJUK :Pemakanan Dan Kesihatan
OLEH :Cik Nurulhidayah Mohd. Taib (UKM)

MODUL 4
TARIKH: 3 JANUARI 2010
TAJUK :Perkembangan Kognitif Dan Sosioemosi
OLEH :Pn. Norazizah A. Aziz(Kolej Dar al-Hikmah)

MODUL 5
TARIKH : 10 JANUARI 2010
TAJUK :Keselamatan, Kesihatan Dan Kebersihan
OLEH :Cik Chia Su Chang (UKM)

MODUL 6
TARIKH :17 JANUARI 2010
TAJUK :Penderaan, Pengabaian Dan Undang-Undang Pemeliharaan Dan Perlindungan Bayi
Dan Kanak-kanak
OLEH :Pn. Siti Nor Hasma (Jabatan Kebajikan Masyarakat)


HUBUNGI
TEL: 03-8925 2392 (Pn. Maznah)
012-237 4642 (Pn. Azizah)
FAKS : 03-8925 2477
ONLINE : www.hikmah.edu.my

Wednesday, November 25, 2009

eid adha

WARGA KOLEJ DAR AL HIKMAH MENGUCAPKAN

"SELAMAT MENYAMBUT EIDUL MUBARAK, EID ADHA" PADA SEMUA WARGA KDH.

YANG DIINGATI DATO SIDDIQ :

MOGA DIBERI HAJI YANG MABRUR PADA AYAH PRESIDEN DATO' DR SIDDIQ FADZIL.

Sunday, November 22, 2009

Ucapan Pelajar Anugerah Citra Cendekia


Salam...
Alhamdulillah.......

Terima kasih kepada pengerusi majlis, yang dimuliakan Tn. Hj. Ahmad Azam Abdul Rahman dan ahli-ahli lembaga pengarah, yang berbahagia ayahanda Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, presiden Kolej Dar al-Hikmah, yang berbahagia saudara Muhd. Razak Idris, presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, ahli-ahli lembaga pengelola, yang berusaha Tn. Hj. Md. Fuad Bahari, ketua eksekutif Kolej Dar al-Hikmah, dif-dif kehormat, para pensyarah, rakan-rakan garaduan yang diraikan, ibubapa seterusnya hadirin dan hadirat sekalian.

Pertama sekali, marilah kita bersama-sama merafa’kan rasa syukur ke hadrat Illahi kerana dengan rahmat kasih sayangNya serta keizinanNya, kita dapat berhimpun di dalam dewan ini bagi menyempurnakan dan menyerikan majlis konvokesyen Kolej Dar al-Hikmah kali yang ke 18. Semoga Allah memberkati dan merahmati majlis ini sehingga keakhirnya.amin...

Tidak ada kata yang dapat mengambarkan perasaan gembira saya dan saya pasti begitu juga dengan rakan-rakan lain. Hari ini kami diraikan dengan penuh meriah. Saya sungguh teruja...Cuma apa yang boleh diungkapkan hanyalah ucapan terima kasih yang tidak terhingga sebagai tanda penghargaan yang tulus daripada kami untuk semua.

Setinggi-tinggi penghargaan diberikan khususnya buat ayahanda kami, Dato’ Dr. Siddiq Fadzil yang menerima kami semua seadanya dan banyak memberi nasihat, teguran, dorongan dan yang lebih manis lagi, saya dan kami semua dapat merasakan kasih sayang beliau kerana beliau mudah dan sering bersama dengan kami semua.

Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada barisan pensyarah kami yang disayangi dan dihormati, kerana telah bertungkus lumus mencurahkan ilmunya kepada kami selama ini hinggalah kesaat ini. Apa yang kami harapkan, semoga segala kesalahan yang kami telah lakukan dapat dimaafkan dan yang paling penting sekali, halalkan ilmu yang telah kami pelajari, agar kami semua dapat mengamalkannya di dalam kehidupan ini. insyAllah.. semoga pengorbanan dan keikhlasan kalian mendapat keredhan dari Allah SWT.

Tidak lupa juga ucapan terima kasih ini ditujukan kepada kedua-dua ayah dan ibu kami, keluarga kami, saudara kami serta rakan-rakan yang tidak pernah berhenti dari mendoakan dan memberikan galakan dan dorongan untuk kami terus berusaha mencari dan mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Penghargaan istimewa untuk kedua ayah dan ibu saya, Tadiap bin Liging dan Sinom binti Dualas yang mendidik, membesar dan sentiasa mendoakan kejayaan bagi saya dan keluarga. Walaupun hari ini ayah dan ibu tidak dapat hadir ke majlis ini, saya berharap ayah dan ibu mengetahui bahawa saya amat menyayangi, mencintai dan menghormati kalian berdua. Dan saya sentiasa berdoa semoga Allah SWT melembutkan hati ayah dan ibu untuk menerima hidayah Islam yang suci ini.

Kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ayah dan ibu angkat saya di atas segala pertolongan, dorongan yang diberikan dan juga sudi hadir pada hari ini untuk meraikan saya dan rakan-rakan yang lain. Semoga segala sumbangan yang diberikan mendapat balasan yang sebaik-baiknya daripada Allah SWT.

Kepada rakan-rakan. Anda adalah yang terbaik di antara yang terbaik. Setelah beberapa tahun ini bertungkus lumus mentela’ah pelajaran, bersama-sama menghadapai pelbagai cabaran dan dugaan, dan ada ketikanya kita terpaksa mendapatkan tenaga tambahan daripada sebungkus meggie. Namun itu semua tidak menghalang kita untuk terus berusaha dan pada hari ini anda telah buktikan anda semua boleh berjaya, kita semua telah berjaya.

Walaubagaimanapun, perjuangan kita belum selesai, perjuangan kita tidak terhenti di sini sahaja. Kejayaan pada hari ini, perlu dijadikan sebagai batu lonjatan dan pemangkin kepada kita untuk terus mencapai kejayaan demi kejayaan di masa-masa akan datang. Cuma satu yang kita perlu ingat, kejayaan yang utama lagi hakiki adalah apabila kita mendapat redha dari Allah SWT dunia akhirat..

Akhir sekali, sekali lagi saya mewakili semua rakan-rakan yang bergaraduat pada hari ini dengan ikhlasnya mengucapkan jutaan dan ribuan terima kasih kepada semua. Semoga Allah SWT merahmati anda sekalian. Sebelum saya menutup ucapan ini, terimalah sedikit kata-kata terakhir daripada saya. Semoga ia sentiasa menyedarkan kita dan memberikan suntikan semangat kepada kita untuk terus berjuang.

Hiduplah dalam Keimanan,
Berjuang tegakkan kebenaran,
kecil tidak semestinya lemah,
andai kita sedarkan diri..

Assalamualaikum....